Mobirise

ARTICLE HEADER

Article header with background image and parallax effect

1. Isu dan Masalah

Isu tuntutan harta sepencarian biasa didengar apabila berlaku penceraian suami-isteri atau kematian pasangan. Dan kebiasaannya ia melibatkan tuntutan hak-hak isteri kepada bekas suami mereka. Tulisan dalam blog ini sekadar memberi pengetahuan dan kesedaran kepada semua pihak. Blog ini mungkin dapat mencelikkan mata kepada kita semua iaitu betapa pentingnya perancangan harta semasa kita sihat dan hidup.

2. Definisi Harta Sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi secara bersama-sama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan yang sah di mana kedua-dua pihak memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perolehan atau pemilikan harta tersebut.

3. Konsep Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat secara umumnya selepas berlaku penceraian dan kematian.

Professor Ahmad Ibrahim menyebutkan dalam bukunya "Islamic Law in Malaysia" yang diterbitkan pada 1965 oleh Malaysian Sociological Research Institute, pada mukasurat 389 menyatakan bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama yang mana kerja yang dilakukan menyebabkan pemilikan bersama; semasa berlaku penceraian atau kematian isteri mempunyai hak terhadap bahagian selain daripada penyelesaian perkara yang lain yang diwajibkan di bawah Undang-Undang Islam.

Di Kelantan, di dalam kes Hajjah Saudah v Hanafi (1990) 8JH 66, Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perintah tuntutan harta sepencarian boleh dibuat selepas kematian pasangan.

4. Kes Boto' binti Taha v Jaafar bin Muhamed

Dalam kes Boto' binti Taha v Jaafar bin Muhamed (1985) 2 MLJ 98, isteri membuat tuntutan harta sepencarian terhadap bahagian harta (alih dan tak alih) yang dibeli oleh suaminya semasa menjadi nelayan semasa mereka masih menjadi suami isteri. Dalam kes ini, apabila suami menceraikan isteri, Tun Salleh Abas C.J Malaya memutuskan harta alih (iaitu bot nelayan dalam kes ini) juga boleh diletakkan di bawah peruntukan harta sepencarian.

Apa yang dikira sebagai sumbangan boleh dikira sebagai harta sepencarian. Tun Salleh dalam kes Boto' binti Taha memutuskan bahawa walaupun isteri tidak memberikan sumbangan kewangan kepada suami untuk membeli harta-harta tersebut, tetapi isteri telah banyak kali menemani suaminya ketika pergi menangkap ikan di laut. Ini sudah cukup untuk dikira sebagai "sumbangan" dalam membeli harta tersebut apabila berlaku pertikaian.

Tun Salleh dalam keputusannya menyebut: "Sungguhpun isteri itu tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan suaminya, kehadiran isteri menyebabkan ketenangan fikiran suami yang membolehkannya mebnguruskan perniagaannya dengan tenang dan berkesan." Fakta perkahwinan dan apa-apa yang dilakukan dalam perkahwinan itu yang menjadikannya harta-harta itu harta sepencarian.

5. Kes [email protected] v Ummi Klathum

Dalam kes [email protected] v Ummi Klathum [1966] MLJ 163, suami ialah seorang askar British yang memeluk agama Islam telah berkahwin dengan wanita Melayu dan telah membeli harta semasa dalam ikatan perkahwinan dan menamakan harta tersebut di bawah nama isterinya. Apabila berlaku perceraian, suami telah menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa harta itu memang harta sepencarian, walaupun pada masa itu plantif bukanlah seorang Melayu tetapi orang Inggeris yang telah Islam.

6. Pelaksanaan Harta Sepencarian Sebagai Doktrin dalam Urusan Harta

Doktrin harta sepencarian telah diberi pengiktirafan oleh semua Mahkamah Syariah di Malaysia. Yang penting ialah penyelesaian tuntutan harta sepencarian akan diselesaikan segera selepas menyempurnakan Wasiat dan sebelum dibuat pembahagian harta mengikut sistem faraid.

7. Kelebihan Membuat Deklarasi Harta Sepencarian


(i) Semua pihak khususnya suami isteri boleh berbincang, besetuju dan memutuskan hak serta pembahagian harta sepencarian semasa mereka hidup lagi,


(ii) Dokumen persetujuan harta sepencarian semasa hidup dapat melindungi hak suami isteri,


(iii) Semua pihak khususnya suami-isteri akan berpuas hati mengenai hak harta sepencarian semasa mereka masih hidup lagi.


(iv) Apabila suami- isteri telah membuat pembahagian harta sepencarian semasa hidup (melalui Deklarasi Harta Sepencarian), ia akan mempercepatkan proses pembahagian harta samada selepas penceraian (elakkan perkara ini...sekadar contoh saje) atau selepas kematian iaitu proses pembahagian harta mengikut wasiat atau faraid.


(v) Dengan adanya dokumen pembahagian harta sepencarian, ia dapat menjimatkan masa proses pembahagian harta berbanding tuntutan harta sepencarian selepas berlaku penceraian atau kematian. Ini kerana si penuntut hendaklah membuktikan melalui dokumen, resit dan hujah di depan Hakim bagi menuntut jumlah harta pencarian yang dikehendaki.


(vi) Pembahagian harta sepencarian semasa suami isteri masih hidup akan dapat mengelakkan perbalahan di kemudian hari oleh suami isteri yang telah bercerai tetapi juga ahli-ahli keluarga pihak pasangan terutama apabila salah seorang pasangan meninggal dunia.