free site creation software

WASIAT

1. Apa itu wasiat?

Wasiat ialah iqrar atau perakuan seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan hukum syarak, selepas dia mati.


2. Bagaimana wasiat disyariatkan?

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma'ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah:180)
Walau bagaimanapun, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turun ayat mawarith 7, 11, 12 dan 176 surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”. (Surah Al-Nisa’: 7)
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunnah dan dia mati sebagai seorang yang bertaqwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan” (Hadis riwayat Ibn Majah)


3. Apakah hukum berwasiat?

Hukum wasiat adalah bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu, contohnya seperti berikut:
i. Wajib – jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji dan dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan. Begitu juga, jika berkaitan dengan hutang dan wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.
ii. Sunat – jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.
iii. Harus – jika berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mana mereka bukan dari golongan yang berilmu dan beramal soleh.
iv. Makruh – jika pewasiat seorang yang kurang berada dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta.
v. Haram – jika berwasiat kepada perkara yang haram.


4. Berapakah kadar harta yang boleh diwasiatkan?

Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan penunaian hutang-hutangnya.


5. Bolehkah wasiat melebihi kadar 1/3 harta?

Wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Mudahkanlah urusan waris anda kelak dengan berwasiat

6. Apakah rukun-rukun wasiat?

Rukun-rukun wasiat ialah pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan sighah


7. Bolehkah wasiat kepada waris?

Jumhur ulama, menyatakan wasiat tidak boleh kepada waris kerana telah mempunyai pembahagian melalui faraid. Namun, jika ingin dilaksanakan juga wasiat tersebut perlu mendapat persetujuan di kalangan waris yang terlibat. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)


8. Anak angkat berhak terima wasiat?

Anak angkat berhak menerima wasiat sekiranya wasiat dibuat kepada mereka namun tidak boleh melebihi 1/3 bahagian.


9. Perlukah mendapat persetujuan waris jika diberi kepada anak angkat?

Tidak perlu, kerana itu hak pewasiat membuat kebajikan jika tidak lebih dari 1/3 bahagian.


10. Siapa yang boleh mengesahkan wasiat?

Hanya Hakim Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mengesahkan sesuatu wasiat.


11. Kenapa wasiat itu penting?

 Tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup.

 Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.

 Pelantikan wasi akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

 Pelantikan penjaga yang dipercayai akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian anda.

 Mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.


12. Adakah perlantikan wasi sahaja memadai dalam dokumen wasiat?

Tidak. Walaupun elemen utama di dalam dokumen wasiat ialah pelantikan wasi, namun perkara-perkara lain juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat seperti cara pembahagian harta pusaka, perlantikan penjaga sah anak di bawah umur 18 tahun, peruntukan perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak malah bagaimana cara sesuatu perniagaan akan diwariskan juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat.



“Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

13. Kenapa saya perlu menyediakan dokumen wasiat?

Hakikatnya semua orang akan mati. Selepas kematian kita, semua harta yang tidak mempunyai penama seperti Akaun Simpanan dan Akaun Semasa di bank, Amanah Saham Bumiputera, Akaun Lembaga Tabung Haji, tanah, rumah dan sebagainya akan dibekukan sehinggalah proses pentadbiran pusaka selesai. Penyediaan dokumen wasiat bagi memudahkan wasi mentadbir harta pusaka, hutang piutang dan hajat anda yang berbentuk kebajikan untuk dilaksanakan selepas kematian anda.


15. Apakah harta yang boleh diwasiatkan?

Semua harta alih dan tidak alih yang berdaftar atas npewasiat.

Contoh harta tak alih:

1. Rumah

2. Tanah

Contoh harta alih:

1. Kenderaan

2. Akaun simpanan

3. Saham pelaburan

4. Takaful

5. Barang kemas

6. Gold Bar

7. Simpanan peti besi

8. KWSP


16. Bukankah harta pusaka orang Islam akan dibahagikan terus ikut hukum faraid selepas kematian?

Faraid adalah tatacara pengagihan berdasarkan hukum syarak yang telah menetapkan bahagian tertentu kepada waris tertentu berdasarkan surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176, tetapi ianya tidak berjalan secara terus selepas kematian.

Sebaliknya harta pusaka akan terbeku dan tidak boleh dibahagikan. Untuk membolehkan harta pusaka diagihkan kepada waris-waris, perlu melalui proses pentadbiran iaitu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau probet.


17. Berapa lamakah proses pentadbiran pusaka ini akan selesai dan bila pula waris-waris saya akan menerima harta saya yang terbeku ?

Secara purata bagi kes si mati yang tidak mempunyai dokumen wasiat, proses pentadbiran pusaka mereka akan mengambil masa di antara 3 hingga 5 tahun. Walau bagaimanapun ada juga kes pentadbiran pusaka yang mengambil masa melebihi 15 tahun untuk diselesaikan


18. Bagi si mati yang mempunyai dokumen wasiat, berapa lama pula tempoh pentadbiran pusaka akan berjalan ?

Secara purata, bagi kes si mati yang mempunyai dokumen wasiat pula, proses pentadbiran pusaka akan mengambil masa di antara 6 hingga 8 bulan sahaja


19. Di dalam tempoh waktu pentadbiran pusaka yang bertahun-tahun ini berjalan, apakah yang waris saya akan dapat?

Waris-waris tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta tuan kecuali harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran.


20. Jadi, harta yang akan dibekukan hanyalah harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja manakala harta yang mempunyai penamaan seperti di atas akan tetap diperolehi oleh penama saya ?

Ya. Harta yang terbeku memang harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja. Walau bagaimanapun, bagi harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran, tuan perlu ingat bahawa penama yang dinyatakan hanyalah bertindak sebagai Wasi sahaja dan bukan tuan punya mutlak harta tersebut . Selepas mereka menerima harta-harta tersebut mereka perlu mengagihkannya semula kepada semua waris-waris mengikut Hukum Faraid.


21. Jadi apa perlunya saya menyediakan dokumen wasiat ?

Dokumen wasiat akan mempercepatkan proses pentadbiran pusaka dan membolehkan waris-waris tuan mendapat bahagian mereka dengan cepat manakala kalau tanpa dokumen wasiat, waris-waris tuan perlu menunggu sehingga beberapa tahun sebelum mereka mendapat bahagian mereka. Pendek kata, nasib anak-anak dan waris-waris yang lain seperti pasangan kita akan lebih terbela dengan adanya dokumen wasiat.